Tirai pentas persaingan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9) akan dibuka malam ini dengan menampilkan seramai 13 peserta berentap merebut gelaran juara.
Tidak ketinggalan, vokalis kumpulan Def Gab C iaitu Asheed yang turut tersenarai dalam kelompok tersebut.
Menyifatkan saingan kali ini terlalu sengit berbanding edisi-edisi terdahulu, Asheed bagaimanapun tidak gentar hadapi cabaran selagi berupaya.
“Ya, memang peserta-peserta GV-9 ramai yang hebat belaka, tetapi semua orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.
“Selagi ada kudrat, saya sedaya-upaya membuktikan kehebatan untuk menambat hati juri dan menghiburkan penonton.
“Pastinya, saya takkan hampakan ahli kelab peminat iaitu Aura Asheed yang selama ini menyokong karier nyanyian saya,” janji pelantun lagu Cinta Sakti itu.
Asheed atau nama penuhnya Mohd Ashid Ahmad, 49, berkata, peluang menyertai program realiti popular itu membuka ruang untuknya terus bernafas dalam industri muzik tempatan.
“Saya harus manfaatkan peluang ini demi mencari nafkah demi rezeki saya sekeluarga,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Hafiza Ramli pada 2012 berserta tiga orang anak. – BOOM!