Penyanyi Wany Hasrita selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur, pada jam di 7.14 malam Sabtu lalu.
Berita gembira tersebut dikongsi Wany menerusi sebuah hantaran video pendek di laman sosial Instagram (IG)nya.
Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 31, meluahkan rasa syukur apabila cahaya mata sulung bersama suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, selamat dilahirkan secara normal.
“Assalamualaikum, Bismillahi MasyaAllah, Alhamdulillah, Wany selamat melahirkan puteri kami pada hari Sabtu, 7.14 malam (semalam) secara normal.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kami. Anak ibu semoga jadi anak solehah, penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapa.
“Membesar dengan sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat kepada yang lain kelak,” luah Wany.
Video pertama puterinya itu telah mendapat lebih 120,000 tontonan dengan hampir 1,800 komen setakat ini (sehingga artikel ini ditulis).
Wany dan suami, Mohd Al-Adib yang bertugas sebagai juruterbang di Kuching, mula rapat selepas diperkenalkan rakan baik Wany pada 2019.
Mereka bertunang pada 26 Februari 2022, sebelum bernikah, Julai tahun lalu.
Difahamkan, Wany akan menjalani proses berpantang di Kuala Lumpur. – BOOM!