Pelakon Sharul Kamal mendedahkan, timbul salah faham antara dirinya dengan pihak produksi Seratus apabila naskhah itu ditukar daripada telefilem kepada filem.
Katanya, ia berlaku sementelah kadar bayaran diterimanya adalah mengikut standard supertele dan bukannya filem.
“Saya menerima bayaran sebagai pelakon utama, jadi saya perlu bersuara. Jika sebagai penampilan istimewa mungkin tidak.
“Pada awalnya, projek ini merupakan sebuah supertele dan semua perjanjian mengikut yang sepatutnya. Tetapi kemudian para pelakon dimaklumkan ia ditukar menjadi filem,” jelasnya.
Bagaimanapun Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 26, berkata, soal bayaran sudah pun selesai.
“Semua selesai selepas mengadakan perbincangan.
“Saya minta hak saya dan pihak yang sepatutnya telah meluluskan termasuk dari segi bayaran,” ujarnya. – BOOM!