Usahawan dan peragawan, Fizul Nawi menerusi akaun Instagram memaklumkan bahawa isterinya, pelakon Nadya Syahera baru saja selamat melahirkan bayi ketiga mereka tepat jam 6.30 pagi tadi di Hospital Shah Alam, Selangor.
Menurut Fizul atau Mohd Hafizul Md Nawi, meski proses kelahiran dilalui Nadya dipermudahkan, namun dia berasa sedih setelah mendapati kesihatan aktres tersebut dan bayinya tidak berapa baik.
“Keadaan selepas bersalin, isteri saya demam dan baby pula dirawat dalam NICU. Mohon doakan agar semuanya selamat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambah pemuda kelahiran Kelantan itu, bayi dilahirkan Nadya atau Nadya Syahera Rosli, 29, seberat 3.3 kilogram dan berada dalam keadaan stabil.
“Terima kasih atas doa dan sokongan semua pihak termasuk keluarga dan sahabat handai,” tambahnya.
Fizul pada masa sama bersyukur atas kurniaan Allah kerana diberi rezeki untuk menimang cahaya mata lagi. – BOOM!