Tan Sri Michelle Yeoh mencatat sejarah apabila menjadi pelakon Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Golden Globe yang berlangsung di The Beverly Hilton, Amerika Syarikat pada Rabu.
Aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal menerusi filem lakonannya Everything Everywhere All At Once.
Michelle atau Michelle Yeoh Choo Keng, 61, berjaya menewaskan calon lain iaitu, Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grand), Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris.
Dalam pada itu, Michelle juga merupakan pelakon Asia kedua yang memenangi kategori berkenaan selepas Awkwafina.
Awkwafina seorang pelakon Amerika Syarikat berdarah campuran Cina memenangi anugerah sama tiga tahun lalu menerusi filem The Farewell.
Nama Michelle mula melonjak di persada antarabangsa apabila menjadi heroin disamping Pierce Brosnan menerusi filem Bond 1997; Tomorrow Never Dies.
Filem-filem lain yang dibintangi primadona ini ialah Memoirs Of A Geisha, Crouching Tiger Hidden Dragon, Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings, Crazy Rich Asians dan banyak lagi. -BOOM!