Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), di sini.
Media antarabangsa melaporkan, majlis penganugerahan tersebut telah berlangsung di TCL Chinese Theatre, Hollywood pada Sabtu.
Michelle mendapat pengiktirafan AFI atas sumbangan besar dalam industri perfileman Hollywood selama 40 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni.
Pengarah filem komedi, Everything Everywhere All at Once yang dibintangi Michelle iaitu Daniel Scheiner memuji aktres berkenaan.
“Saya fikir kami memandang rendah betapa berisiko skrip filem ini untuk dirinya.
“Ketika berada di set penggambaran, kami melihat Michelle ‘daring’ kerana berani meletakkan jarinya ke mulut pelakon gandingan, Jamie Lee Curtis yang bukan calang-calang bintang.
“Jika anda belum menonton filem ini, semua itu terjadi dalam karya itu. Kami sesama sendiri melihat ia sebagai suatu lakonan yang berani,” katanya.
Selain Michelle, filem tersebut turut dibintangi Stephanie Hsu, Ke Huy Quan, Jenny Slate, Harry Shum Jr, James Hong dan Jamie Lee Curtis.
Anak jati Ipoh, Perak terbabit telah berlakon lebih 70 filem seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians. – BOOM!