Suria FM menjadi stesen radio terawal yang mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan Misi Bantuan Banjir Suria membabitkan seramai lebih 20 orang kakitangan termasuk semua penyampai radio mereka.
Pengurus Besar, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, langkah proaktif berkenaan diusahakan sebagai tanda prihatin terhadap mangsa banjir.
“Siri pertama untuk misi bantuan ini bermula pada Khamis lalu melibatkan dua daerah di Pahang iaitu di Bentong dan Jerantut.
“Kami berjaya mengagihkan beg bantuan Suria kepada lebih 100 buah rumah di sekitar kedua-dua daerah terbabit termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Lebih membuatkan kami rasa terharu kerana majoriti penduduk di dua lokasi itu merupakan pendengar setia Suria FM,” katanya yang mengetuai misi tersebut.
Selain itu, dia dan pasukan juga menzahirkan rasa gembira kerana kehadiran mereka disambut dengan berlapang dada oleh masyarakat setempat.
Menurut DJ Lin lagi, di samping menghulurkan bantuang dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan asas, rombongan Suria juga mengerah kudrat empat kerat mereka bagi membersihkan rumah-rumah penduduk yang dipenuhi lumpur.
“Di kesempatan yang ada, para peminat turut bergambar dengan barisan penyampai Suria FM dan tak kurang ada antaranya mengalirkan air mata dek sebak melihat kedatangan kami ke rumah mereka,” katanya.
DJ Lin menambah, Suria FM akan meneruskan misi kemanusiaan itu ke lokasi berlainan termasuk di sekitar Lembah Klang.
Malah pihak mereka mengalukan-alukan penyertaan daripada syarikat korporat atau rakan-rakan penaja untuk berkolaborasi dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan di masa akan datang.
Selain DJ Lin, penyampai Suria FM lain yang turut serta ialah Ajak Shiro, Fizi Ali, Suraya Borhan, Feeya Iskandar, Tyzo Xander dan Sharifah Shahirah. – BOOM!