Pempengaruh terkenal Indonesia, Rizky Billar menerusi satu temu bual bersama saluran YouTube Intens merancang untuk menyewa seluruh tingkat wad bersalin demi menyambut kelahiran bayi sulungnya.
Difahamkan, Rizky atau Muhammad Rizky, 26, dan isterinya, Lesti Kejora menantikan detik sejarah itu yang dijangka pada awal tahun depan.
“Saya sudah menyuarakan hasrat kepada pihak hospital namun masih menanti keputusan daripada mereka.
“Diharapkan hasrat saya untuk menyewa seluruh tingkat wad bersalin dipermudahkan,” kata Rizky.
Pasangan selebriti itu berkongsi keterujaan menantikan detik bahagia bakal menyandang status sebagai ibu bapa kira-kira dua bulan lagi.
Perkongsian itu dibuat oleh Rizky dalam program bual bicara berkenaan memandangkan Lesti sedang sarat hamil tujuh bulan.
Kata Rizky lagi, langkah itu diambilnya bagi menjamin keselesaan dan keselamatan isteri tercinta.
“Selagi Lesti dan bayi selesa serta selamat, semua akan aman,” ulasnya ringkas.
Tambah Rizky, dia turut menjangkakan keluarga mereka bakal menerima ramai tetamu selepas Lesti selamat melahirkan anak nanti. – BOOM!