Hampir lapan bulan menyulam cinta dengan gadis bernama Sara, juara Hero Remaja 2018, Alif Muhaimin mengakui hubungan mereka sudah berakhir minggu lalu.
Lebih menyedihkan, pada awal bulan ini, Alif atau Alif Muhaimin Abdul Rahman, 27, baru saja mengumumkan kepada media bahawa majlis perkahwinannya dengan Sara dijangka berlangsung tahun depan.
“Kami putus hujung minggu lepas. Sedihnya, perpisahan kami cuma menerusi kiriman teks pesanan WhatsApp daripada Sara. Tak sempat nak bincang apa-apa.
“Jujurnya sangat terkejut dengan tindakannya sebab selama ini bukan main lagi cakap sayang gila dan seumpamanya.
“Tiba-tiba saya dapat mesej. Katanya, ‘Saya dah buat keputusan, macam awak kata, kita tak boleh jadi kawan.
“Jadi, sama ada sambung hubungan ini atau tamatkan. Saya pilih untuk putus sebab dah tak boleh teruskan,” cerita Alif berkongsi perbualan terakhir mereka kepada Boom!.
Enggan mengulas lanjut kerana khuatir kenyataannya disalah erti dan akan menggores hati serta mengaibkan bekas kekasihnya, Alif sekadar berharap agar Sara bertemu jodoh dengan lelaki lebih baik.
“Harap lepas ni lelaki yang dia berkenan tu harap dapat jadi suami dan membimbingnya hingga ke jannah.
“Sakit macam mana pun, saya kena tukar perspektif fikiran, fikir bahawa Allah telah selamatkan saya. Ada hikmah, insya-Allah,” doanya.
Sementara itu, menyentuh soal karier lakonan, secara bersoloroh Alif berkata, rezekinya selepas putus cinta kian murah dan melimpah.
Baru-baru ini kata Alif, dia ditawarkan watak utama bagi membintangi drama Sentuhan Jiwa arahan sutradara terkemuka, Osman Ali dan diterbitkan syarikat produksi miliknya, Nuansa Films.
“Sesi penggambaran sedang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain,” ujarnya.
Dalam naskhah berkenaan, turut terbabit ialah Afifah Nasir yang menjadi pasangan heroinnya serta pelakon senior, Roy Azman. – BOOM!