Pelakon senior, Jasmin Hamid memilih PA atau pembantu peribadinya sebagai suami baharu yang sah dinikahkan menjadi mahram semalam.
Ketika upacara pernikahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, Jasmin, 47, yang dinikahi Nazmir Abd Rahim, 35, telah menerima mas kahwin RM80, sepersalinan pakaian solat serta sejumlah wang hantaran.
Majlis tersebut cuma dihadiri 10 tetamu yang terdiri daripada anak-anak, ibu bapa, adik-beradik dan saudara terdekat mempelai.
“Saya ni pengantin lama, bukan anak dara lagi. Dapat sedikit wang hantaran dan sepersalinan baju serta kelengkapan solat, kira OK lah tu,” katanya ringkas menerusi entri yang dikongsi di akaun media sosial.
Mengulas tentang perkahwinan keduanya, selama berhubungan dengan Nazmir, mereka sangat profesional untuk membezakan soal kerja dan peribadi.
“Lapan tahun dia menguruskan kerjaya saya. Keputusan berkahwin dibuat hanya sebulan lalu. Jodoh kuasa Allah dan pandemik jadi penyebab semua ini berlaku.
“Jika diikutkan, saya bercinta dengan orang lain, tetapi bertemu jodoh dengan dia,” katanya yang tidak pernah terfikir akan mengahwini pengurus sendiri kerana sudah menganggap Nazmir sebagai teman baik.
Aktres drama Cukup Derita Itu yang terkenal dengan watak Mak Ngah Gayah berkata, ketika bergelut dengan musibah Covid-19, lelaki berkenaan setia di sisinya.
“Dia banyak menjaga dan mengambil berat perihal saya dan anak-anak termasuk saat saya sering teringat soal mati serta berfikir macam-macam perkara.
“Saya anggap semua ini suratan yang membuka pintu hati kami berdua untuk berkahwin,” tambahnya.
Pelakon filem Kanta Serigala itu turut berkongsi, selama ini antara dia dan Nazmir membahasakan diri dengan panggilan ‘adik’ dan ‘kakak’.
“Sesekali, ada juga sebut ‘engkau’ dan ‘aku’. Sekarang ni janggal pula rasanya kalau nak kena panggil dia ‘baby’,” selorohnya.
Jasmin pernah mendirikan rumah tangga bersama Ian Rashid Macquistan, namun dikatakan berpisah pada Februari 2008.
Hasil perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ian Haziq yang kini berusia 20 tahun.
Malah pelakon berbakat besar itu juga mempunyai dua anak angkat iaitu Rohana dan Lukhman Hakim. – BOOM!