Kala terdengar ura-ura nama Nikki Palikat berada dalam senarai peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), ramai yang menyambut baik dan memberikan respons positif.
Ternyata Nikki diakui antara peserta yang bakal memberikan warna menarik dalam persaingan GV8 kali ini.
Sekian lama menyepi, ramai menyangka dia tidak lagi menyanyi, sedangkan kata empunya badan, dia sentiasa aktif cuma di cabang teater.
“Saya aktif berteater dan selain itu sibuk membesarkan anak di rumah.
“Anak tunggal saya, Liam Mok sudah pun berusia 11 tahun. Jadi rasanya inilah masa yang sesuai untuk ‘comeback’.
“Saya bergelar ibu pada usia yang agak muda. Bila sudah menjadi penyanyi, komitmen terhadap kerjaya pasti berbeza.
“Jadi sebagai ibu, naluri keibuan itu menebal. Misalnya, saya mahu jaga anak sendiri.
“Lalu komitmen terhadap keluarga menjadi lebih utama berbanding menyanyi.
Tetapi sekarang, ‘its a good time’ untuk kembali,” katanya.
Isteri kepada komposer terkenal Audi Mok itu turut berkongsi, selama 11 tahun, anaknya tidak tahu bahawa dia merupakan seorang penyanyi hingga dia menunjukkan klip video lagu Caramu.
“Kenapa tak jadi penyanyi yang famous? Dia tanya saya. Saya jawab sebab nak jaga kamu,” katanya tertawa.
Nikki atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat, 36, percaya kini adalah waktu terbaik untuknya melangkah ke pentas GV selepas beberapa kali hadir ke sesi uji bakat.
“Dulu saya pernah ditawarkan cuma belum ada rezeki menjadi finalis. Namun saya tidak nafikan dah banyak kali peminat bertanya bila saya mahu buat kemunculan semula,” ujarnya.
Nikki juga teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan Senario yang dianggap idolanya serta tidak melepaskan peluang bergambar dengan mereka.
Edisi kali ini mengekalkan pengacara musim terdahulu iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Konsert mingguan akan berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam disiarkan Astro Ria. – BOOM!