Penyanyi popular, Adele, diarahkan oleh mahkamah Brazil untuk menurunkan lagu hitnya, ‘Million Years Ago’, daripada semua platform penstriman global selepas didakwa memplagiat karya komposer samba terkenal, Toninho Geraes.
Mahkamah mengarahkan syarikat rakaman Adele menghentikan pengedaran, penghasilan semula, serta penggunaan lagu tersebut di platform digital dan fizikal. Perintah itu juga menetapkan denda sebanyak AS$8,000 (RM35,584) bagi setiap ketidakpatuhan.
Toninho mendakwa ‘Million Years Ago’ menciplak elemen muzik dari lagu ciptaannya, ‘Mulheres’ (Women), yang dirakam oleh penyanyi terkenal Brazil, Martinho da Vila, pada tahun 1995. Beliau turut menuntut royalti, ganti rugi moral berjumlah AS$160,000 (RM711,680), serta kredit penulisan bagi lagu Adele.
Sony Music Entertainment Brazil menyatakan belum ada sebarang kenyataan rasmi, manakala Universal Music Brazil enggan mengulas lanjut.
Selain itu, ‘Million Years Ago’ juga pernah didakwa menyerupai lagu 1985 penyanyi Kurdish, Ahmet Kaya, namun isu ini terus mencetuskan perdebatan hangat di kalangan peminat muzik global.
Buat masa ini, syarikat rakaman Adele masih boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. – BOOM!
Sumber: Kosmo!