Penerbit Mawi World Entertainment, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, melakar kejayaan manis dengan filem komedi seram Zim Zim Ala Kazim. Kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta membolehkan bonus hampir RM200,000 diagihkan kepada barisan pelakon dan kru, seperti dijanjikan.
Menurut Mawi, 43, perancangan awal filem ini hanyalah untuk saluran Astro First dengan bajet yang lebih kecil. Namun, keputusan menayangkannya di pawagam membuahkan hasil.
“Pada mulanya, kita bayar pelakon dan kru ikut bajet TV. Tapi dengan persetujuan semua, filem ini ditayangkan di pawagam. Alhamdulillah, kutipan memenuhi sasaran,” katanya ketika majlis penyerahan bonus yang berlangsung semalam.
Selain Astro First, filem ini juga akan menemui penonton di Netflix tahun depan.
“Saya mahu berlaku adil dan memastikan pelakon serta kru gembira. Bonus ini tanda penghargaan kepada mereka semua,” tambah Mawi.
Mengenai perancangan masa depan, Mawi mengesahkan sekuel Zim Zim Ala Kazim sedang dirancang.
“Saya ada berbincang dengan Ustaz Kazim untuk menghasilkan jalan cerita lebih serius tanpa elemen komedi. Filem ini akan memaparkan empat sihir lain yang belum diceritakan,” jelasnya.
Filem yang ditayangkan pada 13 Jun lalu ini diterajui oleh Datuk Ustaz Kazim Elias serta menampilkan bintang seperti Mawi, Bell Ngasri, Anas Tahir, Elvina Chuah, dan Zarina Anjoulie. Ia mengisahkan perjalanan seorang pendakwah terkenal yang berdepan penyakit misteri akibat disihir.
Dengan kejayaan ini, filem Zim Zim Ala Kazim membuktikan bahawa gabungan mesej dakwah dan hiburan mampu menarik perhatian penonton tempatan. – BOOM!
Sumber: Berita Harian