Aktres serba boleh, Nabila Huda, sekali lagi membuktikan dedikasinya terhadap dunia lakonan apabila memilih untuk menyediakan pakaian dan solekan sendiri ketika menjalani penggambaran filem Gayong.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, kelihatan sedang bersiap di set penggambaran dengan mengenakan pakaian tradisional Melayu.
Nabila, 39, berkongsi bahawa dia tidak kisah berbelanja lebih demi memastikan setiap watak yang dilakonkan hidup dengan sempurna, terutamanya watak terbarunya, Che Som.
“A day with Che Som! Ini adalah rutin seharian saya sampailah Disember nanti sebagai Che Som,” tulis Nabila.
Menurutnya, setiap pakaian yang dikenakan dijahit khas untuk memberikan keselesaan sepanjang penggambaran. Bagi memastikan kesempurnaan watak, Nabila turut mengambil langkah teliti dalam memilih wardrobe yang sesuai.
“Seperti biasa, wardrobe saya custom sendiri untuk keselesaan dan awak semua pun tahu saya sangat teliti bab wardrobe untuk karakter istimewa macam ni,” katanya. “Ada baju yang ditempah dan match dengan ‘top’ dan kain batik yang dijahit khas.”
Tidak cukup dengan itu, Nabila turut membawa jurusolek peribadinya ke set penggambaran walaupun solekannya dikatakan tidak begitu tebal.
“Cuma kali ini lagi istimewa sebab saya ada jurusolek peribadi saya sendiri…walaupun tak adalah make up sangat pun.”
Malah, Nabila turut berjanji akan membuat video Get Ready With Me (GRWM) untuk pakaian lain yang akan dipakainya sepanjang penggambaran filem tersebut.
Tindakan Nabila yang begitu profesional dan berkomitmen tinggi terhadap watak Che Som telah menerima pujian dari para pengikutnya di Instagram. Rata-rata memuji sikapnya yang sanggup mengorbankan masa dan wang demi menghidupkan karakter dengan lebih berkesan.
Nabila sememangnya dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dan komited dalam memastikan setiap watak yang dijayakannya memberikan impak yang mendalam kepada penonton. – BOOM!