Pelakon sensasi, Zarina Anjoulie, mengakui berpuas hati dengan hasil pembedahan rekonstruktif hidung yang dilakukannya sebulan lalu, meskipun menerima kritikan dan cacian dari netizen.
Zarina, atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, 36, tetap teguh dengan keputusannya dan langsung tidak menyesal menjalani prosedur tersebut.
“Bila tengok semula gambar-gambar lama, saya tak menyesal buat hidung terutama bila lakukan penggambaran. Sudut sisi saya nampak lebih menarik. Saya tidak kisah apa orang lain mahu katakan, tetapi saya sangat menyukainya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Walaupun ada yang mengatakan hidungnya terlalu menonjol selepas pembedahan, Zarina melihat itu sebagai perubahan yang diinginkan. Menurutnya, tujuan utama menjalani pembedahan plastik adalah untuk kelihatan berbeza daripada sebelumnya.
“Orang cakap hidung saya terlalu menonjol (mancung), tetapi itu lah perubahan daripada pembedahan plastik tersebut untuk nampak lain daripada sebelum ini. Kalau nak nampak sama, buat apa tujuannya lakukan pembedahan plastik,” tambahnya lagi.
Zarina turut berkongsi beberapa foto sebelum dan selepas pembedahan di media sosial, membuktikan kepuasan hatinya terhadap hasil yang diperoleh.
“Saya memang bertujuan mahu mancungkan dan nampak lebih tajam pada hidung. Kesimpulannya, saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya yang sekarang,” katanya. – BOOM!