Kharisma Music dengan bangganya mengumumkan konsert yang paling dinanti-nantikan, ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ yang bakal berlangsung pada 3 November 2024 di Megastar Arena, KL, bermula jam 8 malam.
Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Raisa ke Kuala Lumpur, sambil menyatakan konsert ini memberi peluang kepada peminat untuk menikmati muzik Raisa secara langsung.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi peluang untuk merasai keindahan muzik Raisa secara langsung,” katanya.
Raisa, yang mencipta nama dengan single ‘Serba Salah’ pada 2011, telah memenangi pelbagai anugerah termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15.
Dalam konsert ini, Raisa akan mempersembahkan lebih 20 lagu, termasuk hit popular seperti ‘Kali Kedua,’ ‘Jatuh Hati,’ dan ‘Mantan Terindah.’
Konsert selama lebih dua jam ini akan disertai dengan reka bentuk pentas yang mengagumkan serta kesan audio visual istimewa. Pemilik tiket VVIP dan VIP juga berpeluang menghadiri sesi meet & greet bersama Raisa.
“Ini adalah peluang luar biasa bagi semua peminat Raisa untuk menyaksikan sendiri persembahan ‘teristimewa’ yang pasti akan mencipta memori indah yang tidak terlupakan, serta dapatkan tiket-tiket konsert dengan segera sebelum kehabisan, dan jangan lupa nantikan hiburan seterusnya dari Kharisma Music,” tambah En. Ahmad Jeffny.
Tiket konsert ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ sudah mula dijual sejak 9 September 2024 di laman web ticket2u.com.my/raisa, namun hanya berbaki sedikit sahaja. – BOOM!