Pada 3 Oktober 2024, penggambaran bagi filem Duyung: Legenda Aurora telah berlangsung di Wetland Studios Putrajaya, dengan penyertaan pelakon terkenal seperti Anna Jobling, Saiful Apek, Datuk Yusry Abdul Halim, Yassin Yahya, Ayie Floor88, Nadia Brian, dan Saiful Zero.
Menurut pengarah, Dato’ Prof. Dr. A. Razak Mohaideen, Wetland Studios Putrajaya dan Underwater World Langkawi dipilih kerana infrastrukturnya yang sesuai dengan jalan cerita filem ini.
“Set haiwan animatronik dan hiasan dalaman yang menakjubkan di Wetland Studios menepati keperluan babak yang digabungkan dengan babak di Underwater World Langkawi” jelas Dato’ Prof Razak.
Selain itu, semalam turut menyaksikan lawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman, yang meluangkan masa di set penggambaran.
Beliau bertemu dengan pengarah dan para pelakon selepas menyempurnakan majlis penutup serta penyampaian sijil Program Pembangunan Komuniti Filem dan Belia Kreatif – Bengkel Penjenamaan Digital, anjuran FINAS melalui Bahagian Pembangunan Industri dengan kerjasama KRU Masterclass Sdn Bhd.
Duyung: Legenda Aurora memaparkan 22 lokasi penggambaran, termasuk Langkawi, Lembah Klang dan Putrajaya.
Penggambaran di Langkawi telah selesai, dan kini beralih ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang sebelum dijangka tamat pada pertengahan Oktober 2024.
Dengan durasi 110 minit, filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam pada September tahun hadapan. – BOOM!