Aktres terkenal, Siti Saleha, mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024, yang berlangsung di Korea Selatan semalam.
Kemenangan ini menyaksikan Siti Saleha, 34, berjaya mengatasi pelakon-pelakon hebat dari negara Asia lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, termasuk Korea Selatan sebagai negara tuan rumah.
Dalam ulasannya mengenai kejayaan besar ini, Siti Saleha berharap pengiktirafan tersebut akan membuka mata lebih banyak pihak terhadap bakat besar yang dimiliki pelakon Malaysia, serta menjadi batu loncatan untuknya meneroka peluang di peringkat antarabangsa.
“Anugerah ini sangat bermakna buat saya. Siapa yang tidak mahu menerima anugerah di pentas global, apatah lagi apabila dicalonkan bersama aktor dan aktres ternama dari Asia. Saya amat bangga bukan sahaja kerana mewakili Malaysia, tetapi juga kerana ini peluang untuk membuktikan ramai bakat Malaysia yang boleh melebarkan sayap ke luar negara.
“Saya berharap dengan platform ini, bakat anak Malaysia akan lebih diiktiraf di persada dunia. Anugerah ini adalah permulaan untuk lebih banyak kejayaan besar yang akan datang,” ujar Siti Saleha dengan penuh rasa syukur.
Ketika ditanya mengenai hasrat untuk berhijrah demi mengembangkan karier, calon Aktres TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 itu tidak menolak kemungkinan tersebut jika keadaan memerlukan.
“Saya memang selesa di sini, tetapi sudah tentu saya terbuka jika ada peluang untuk bekerja dengan penggiat seni antarabangsa. Kebetulan pula, saya memang gemar melancong. Namun, Malaysia tetap di hati dan saya tidak akan berhijrah selamanya,” jelasnya sambil tersenyum.
Nama Siti Saleha tersenarai sebagai calon anugerah berprestij ini melalui drama SeOfis, sebuah Tonton Original Series yang ditayangkan pada Januari lalu.
Drama arahan Faizul Jai itu menyaksikan Siti Saleha membawa watak sebagai Samirah, seorang pereka hiasan dalaman yang bercita-cita besar untuk tersenarai dalam Forbes 40 Under 40.
Kemenangan ini pastinya melonjakkan lagi kerjaya seni aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Sumber: Berita Harian