Sebagai Primadona Filem Melayu, nama Erra Fazira sering menjadi bualan netizen yang berpendapat beliau layak menerima gelaran Datuk.
Namun, rezeki untuk mendapat penganugerahan itu masih belum berpihak kepada Erra, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 50.
Ketika ditanya tentang perkara ini, Erra mengakui bahawa beliau sendiri tidak tahu bagaimana harus menjawab soalan tersebut.
Namun, beliau berterima kasih kerana ada peminat yang menganggap dirinya layak mendapat pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.
“Saya tidak ambil pusing tentang perkara ini. Saya bukanlah orang yang tepat untuk komen tentang isu ini kerana ini bukan bidang saya. Pada saya, ada ramai lagi selebriti senior yang lebih layak, yang mempunyai jasa dan bakti untuk dapat gelaran Datuk,” kata Erra dengan penuh rendah diri.
Menurut pelakon filem “Sembilu” itu, meskipun beliau tidak mengejar gelaran tersebut, rasa terima kasih tetap hadir kerana ada yang menghargai kerjaya seninya.
“Kalau ramai yang berpendapat bahawa saya layak dapat gelaran Datuk, pada saya itu adalah pendapat mereka dan saya berterima kasih kerana itu sedikit sebanyak merupakan satu penghargaan buat saya. Biarlah saya tiada gelaran, tetapi apa yang mereka fikir dan rasa untuk saya sangat-sangat bermakna,” ujarnya.
Walaupun begitu, Erra tidak akan menolak jika suatu hari nanti beliau terpilih untuk menerima gelaran tersebut.
“Kalau dapat, saya anggap itu satu rezeki. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau tiada, saya tetap teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres,” tambahnya dengan senyuman.
Dalam perkembangan terkini, Erra Fazira bakal kembali mewarnai kaca televisyen apabila terpilih sebagai juri tetap untuk program Kilauan Emas musim baharu yang akan bermula 14 September ini, setiap Sabtu pukul 9 malam di saluran Astro Prima. – BOOM!
Sumber: Hib Glam