Pelakon Ashraf Muslim mengajak orang ramai yang berminat dengan dunia ketenteraan untuk menyertai Askar Wataniah, sebuah badan sukarelawan yang menawarkan pelbagai pengalaman dan ilmu berguna.
Menerusi hantaran di TikTok, Ashraf, berkongsi manfaat yang boleh diperoleh daripada penyertaan dalam pasukan ini.
Menurut Ashraf, bagi mereka yang berminat dengan ketenteraan, senjata, dan survival hutan, menyertai Askar Wataniah adalah peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.
“Bukan perlu menjadi askar sepenuh masa, ini hanya askar sukarela. Banyak kelebihan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Ashraf turut berkongsi bahawa pengalaman dalam Askar Wataniah sangat menarik dan penuh keseronokan.
“Banyak latihan yang diajar seperti peranan kubu dan simulasi serang hendap. Memang seronok dan menarik,” ujarnya, sambil mengajak mereka yang berminat untuk mencuba sendiri pengalaman tersebut.
“Daripada hanya menonton cerita ketenteraan atau bermain game, apa salahnya sertai. Kalau berani, kalau rasa anak jantan, jom join Askar Wataniah.”
Sebelum ini, Ashraf telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat pada Mac lalu, satu pencapaian yang menambah lagi inspirasi bagi mereka yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan ini. – BOOM!