Menjadi penghibur terkenal bukanlah tugas mudah, dan itu yang sering ditekankan oleh penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Lyodra.
Meskipun bakatnya luar biasa, Lyodra tetap berpegang pada usaha gigih dan semangat juang yang tinggi.
Lyodra Margaretha Ginting mula mencipta nama selepas menjuarai Indonesian Idol musim ke-10 pada 2020 ketika berusia 17 tahun, menjadikannya pemenang termuda dalam sejarah program tersebut.
Sejak itu, deretan lagu hits membuktikan keupayaannya dan menyangkal tanggapan bahawa juara realiti mudah tenggelam.
Meskipun menerima pujian menggunung, Lyodra mengakui masih jauh untuk mencapai status diva Indonesia dan menyedari perjalanan kariernya masih panjang.
“Saya hargai semua persepsi orang. Saya masih lagi baru dah tidak berasa sudah mencapai tahap diva Indonesia.” katanya.
Lyodra turut bersyukur namun dalam masa sama masih berasakan diri terlalu jauh untuk mencapai status itu apatah lagi hayat kariernya masih terlalu baru.
“Saya percaya untuk sampai ke level itu memerlukan usaha keras dan jam terbang yang lama,” katanya kepada BOOM! ketika singgah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sedikit tertekan dengan ekspektasi peminat, Lyodra mengakui kadangkala pujian melampau itu menakutkan andai satu hari nanti tidak dapat memuaskan hati semua pihak.
“Pujian itu kadang-kadang boleh memberi tekanan sebab itu adalah sebuah ekspektasi orang.
Saya memilih untuk menjalani sahaja karier ini tanpa memikirkan semua itu kerana macam saya cakap sebelum ini, kalau fikir boleh jadi tekanan dan itu tidak bagus untuk karier saya,” ujarnya serius.
Dia juga mengakui rasa rimas apabila sering dibandingkan dengan penyanyi lain seperti Mahalini dan Tiara Andini, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.
“Saya akui memang ada rasa rimas, pasti setiap manusia tidak suka dibandingkan. Bukan hanya penyanyi sahaja, pemain industri juga pasti berasakan perkara sama.
Misalnya kalau saya baca komen, sudah macam tiada benda lain mahu diceritakan, mesti ada sahaja perbandingan. Memang merimaskan,” ujarnya tanpa berselindung.
Terbaharu, Lyodra bakal bergandingan dengan idolanya, Afgan menerusi konsert ‘ADA Afgan & Lyodra Live In Kuala Lumpur’ pada 28 September nanti. – BOOM!