Pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen, dinobatkan sebagai Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan disiarkan secara langsung di TV3, malam tadi.
Che Sayang, atau nama sebenarnya Qayyum Halid, mengalahkan lima pencabar lain iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood, dan Sofea Shra.
Menurut Che Sayang, kejayaan tersebut adalah hasil sokongan keluarga dan kerja keras yang berlipat kali ganda.
“Terima kasih kepada pengundi, keluarga, dan semua yang menyokong saya setiap hari. Dengan usaha dan mimpi, semuanya boleh direalisasikan,” katanya.
Kategori Celebrity Of The Year pula dimenangi oleh pelakon dan penyanyi Bella Astillah, yang mengalahkan Nabila Razali, Hairul Azreen, Amsyar Lee, Siti Khadijah Halim, dan Meerqeen.
Bella menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada para peminat serta pengundi yang memberikan sokongan padu.
“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada TikTok Awards Malaysia 2024, saya tidak terfikir boleh menang. Terima kasih kepada pengikut yang undi saya.
“Sebenarnya, saya mula sertai TikTok pada 2018 dan merasakan platform ini membuka banyak peluang. Semoga dapat berikan yang terbaik menerusi perkongsian,” katanya.
Anugerah Changemaker Of The Year diberikan kepada Brader Wheel Chair dan Lokohopunohgroup, mengiktiraf pencipta kandungan yang berani mencipta impian dan memberikan impak positif kepada masyarakat.
Selain itu, TikTok Live Creator of the Year dimenangi oleh Acap S atau Asraf Jaafar, Video Of The Year oleh Agy Official, dan TikTok Shop Creator of the Year oleh Pinn Yang.
Kategori pilihan juri pula menyaksikan kemenangan Kanafly untuk Entertainment Creator Of The Year, Yimotapir untuk Animation Creator Of The Year, Kingshahx untuk Gaming Creator Of The Year, Amaranas untuk Sports Creator Of The Year, Tang Guo Shop untuk Food Creator Of The Year, Aminxabid untuk Education Creator Of The Year, dan Aishah Rahim untuk Beauty and Fashion Of The Year.
Acara yang dihoskan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick, bersama Ain Edruce dan Ceddy Ang sebagai hos karpet merah, turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis popular seperti Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, dan ramai lagi.
TikTok Awards Malaysia 2024, yang merupakan edisi kedua acara ini, bukan sahaja meraikan pencapaian para pencipta kandungan tetapi juga membuka peluang lebih besar dalam kerjaya mereka. – BOOM!