Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, mendoakan yang terbaik buat bekas suaminya, Aliff Aziz, selepas mengetahui bahawa Aliff kini kembali bersama jemaah tabligh di Singapura.
Namun, Bella mengakui bahawa dia tidak tahu mengenai video tular di TikTok yang menunjukkan Aliff bersama kumpulan jemaah tersebut.
“Saya tidak tahu mengenai perkara ini, dan lebih baik saya tidak komen kerana itu adalah kehidupannya. Kalau betul dia mahu berubah ke arah yang lebih baik, kita doakan yang terbaik.
Lagipun, kita tak tahu niat sebenar seseorang, dan kalau betul, Alhamdulillah,” ujar Bella ketika ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024.
Video yang tular menunjukkan Aliff mengenakan serban putih dan berada di sebuah masjid di Singapura bersama jemaah tabligh.
Video tersebut dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Taufik, yang turut mengingatkan agar orang ramai tidak cepat menghukum sesama manusia.
BACA: Aliff Aziz Kembali Cari Agama, Sertai Jemaah Tabligh
Dalam perkembangan lain, Bella menjadi satu-satunya penyanyi solo yang akan membuat persembahan dalam Konsert Jiwa Malaysia 2024, yang bakal berlangsung pada 7 September di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Konsert ini turut menampilkan artis-artis lain seperti Bunkface, Dolla, Ruffedge, Spider, Insomniacks, dan Hujan. – BOOM!
Sumber: Berita Harian