Selepas lapan tahun berpuasa tanpa ditemani sosok bergelar isteri, tahun ini aktor senior, Esma Daniel bersyukur diberikan kesempatan untuk kembali menjalani ibadah Ramadan bersama pasangan.
Esma mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama wanita pilihan hatinya iaitu Nur Atira Mazlan,32, pada Mei tahun lalu.
Ujar Esma,55, biarpun jurang usia mereka lebih 20 tahun, namun mereka saling melengkapi.
“Ramadan tahun ini pastinya momen indah buat saya bila dapat berpuasa bersama pasangan hidup.
“Sejujurnya, suasana dan perasaan itu sedikit berlainan apabila kita bersahur dan berbuka ditemani isteri.
“Walaupun jarak usia kami banyak perbezaan, tapi Alhamdulillah saya bertuah sebab isteri seorang yang sangat memahami walaupun dia bukan orang industri,” katanya kepada URTV.
Esma berkata demikian ketika ditemui pada sidang media MIFFest di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keterbukaan hatinya untuk berkahwin meskipun pernah berdepan kegagalan rumah tangga sebamyak dua kali sebelum ini, kata Esma, bukan mudah untuk dia membuat keputusan.
“Bila umur dah meningkat ni, kita mula sedar yang kita perlukan teman serumah. Sebelum ini saya pernah berkahwin dua kali, jadinya saya sudah terbiasa hidup berteman.
“Saya akui ambil masa yang agak lama untuk kembali bernikah sebab pernah lalui dua kali episod kegagalan rumah tangga,” ujarnya.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran, Esma kini lebih banyak muhasabah diri selain bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang kedua untuk hidup selepas diduga dengan serangan angin ahmar pada November tahun lalu.
“Kalau dulu bila hidup solo, muka asyik ketat sajakan. Tapi sekarang saya lebih chill, relaks dan tenang saja. Saya suka hidup berteman sebab itulah lepas saja bercerai dahulu, saya tak pernah cakap tak mahu berkahwin lagi.
“Tapi saya juga percaya, kita hanya merancang dan Allah yang tentukan. Saya akui waktu muda-muda dulu mungkin cepat panas baran, selalu sangat buat keputusan tak fikir panjang.
“Tapi sekarang ni berbeza sebab saya makin berusia dan isteri pula muda 20 tahun daripada saya. Saya kena faham perangai orang muda.
“Saya syukur dan gembira berkahwin dengan Atira. Dia ada di sisi saya sewaktu saya tiba-tiba diserang angin ahmar. Tak dapat bayangkan kalau waktu itu saya bersendirian,” kongsinya.
Bercakap mengenai tahap kesihatannya pula, Esma lega dia sudah sepenuhnya pulih daripada angin ahmar.
Namun, dia masih perlu berjaga-jaga dan masih lagi perlu mengambil ubat mengikut saranan doktor.
“Alhamdulillah saya sudah sembuh sepenuhnya. Tapi saya tetap jaga kesihatan sebab dalam fikiran kita sudah pernah kena sekali, mesti kena ada rasa waspada.
“Saya masih perlu makan ubat khas selama setahun. Harga ubat tersebut agak mahal. Saya bersyukur sebab isteri selalu menjaga pemakanan saya dengan memasak menu berkhasiat disebabkan bacaan kolestrol saya agak tinggi.
“Bagi sesiapa yang pernah kena serangan angin ahmar, peratus untuk diserang buat kali kedua sangat tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Atira yang bekerja di sebuah syarikat perbankan di ibu negara, menganggap lelaki berusia seperti Esma lebih memahami perasaan wanita.
“Dia seorang yang matang mungkin iyalah faktor usiakan. Walaupun kami ada juga berbeza pendapat tapi kami akan sering berbincang.
“Pendapat saya, kalau pasangan sama muda, masing-masing cepat marah.
“Tapi apa-apa pun, saya percaya tua atau muda, bukan penentu kebahagiaan suami isteri. Paling penting ialah saling faham dan terima pasangan kita seadanya,” katanya.
Untuk info, Esma pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Sherie Merlis, 51, pada 1992 dan bercerai pada 1997. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki.
Pada 2002, Esma kembali mendirikan rumah tangga dengan Nitra Sari Omar sebelum bercerai pada 2016 dan dikurniakan enam cahaya mata. – BOOM!
Sumber: UTUSAN TV