Enggan menipu diri sendiri dan penonton yang membeli tiket menonton filem, Fyza Kadir yang juga bekas pelakon serta ikon fesyen tidak kesal membuat keputusan meninggalkan dunia lakonan lebih sedekad lalu.
Fyza pernah bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG hanya sempat mengutip pengalaman selama setahun dan membintangi lima filem sebelum mengucapkan selamat tinggal.
Katanya, dia sedar tidak memiliki bakat, tetapi atas desakan produser, David Teo akhirnya dirinya bersetuju mahu mencuba.
“Saya tak menyesal buat keputusan meninggalkan dunia lakonan kira-kira 10 tahun lalu, sebaliknya bersyukur membuat keputusan tepat.
“Kalau teruskan berlakon ia hanya akan memberi ruang kepada orang mengutuk, lebih lagi, zaman media sosial ini.
“Saya simpati dengan artis sekarang, memang mereka meraih pendapatan lumayan, tapi pada masa sama, mereka juga menjadi bahan kutukan netizen.
“Walaupun sudah cuba lakukan yang terbaik, tetapi mereka masih dikutuk. Jadi, saya bersyukur tak sempat lalui situasi sebegitu,” katanya yang dilantik Wajah Raya 1001 Tales of Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Pelakon filem Nongkrong, Ajiboy, Pe3 dan Senario Ops Pocot itu juga berkata, tidak salah mencuba, tetapi mereka kena tahu sejauh mana kemampuan masing-masing.
“Saya memang sedar diri tiada bakat. Walaupun David berusaha asah bakat saya, tapi masih gagal. Ini kerana suara saya terlalu halus dan tak sesuai untuk berlakon.
“Saya terlalu pemalu, sehingga setiap kali balik shooting mesti saya menangis. Saya juga tak pernah tonton filem lakonan sendiri.
“Tapi, kepada mereka yang ada minat nak berlakon, tapi tak ada bakat, asahlah bakat terlebih dahulu, jangan cepat putus asa dan terlalu memaksa diri.
“Selepas berlakon, tonton semula filem lakonan supaya tahu di mana kekurangan kerana dapat perbaiki. Kesilapan saya sebab tak tonton kembali semula filem dilakonkan, jadi macam mana nak perbaiki diri,” katanya.
Sementara itu, pertunjukan fesyen ‘1001 Tales of Ariani’ masih lagi mengekalkan tiga duta iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad.
Selain menambah muka baharu iaitu keluarga besar pasangan selebriti, Amar Bahrin dan Amyra Rosli, manakala Fyza Kadir sebagai wajah baharu Ariani RTW Premium.
Mengangkat tema ‘1001 Tales of Ariani’ dalam majlis pertunjukan fesyen, acara tidak hanya tertumpu kepada pelancaran koleksi Lebaran 2024, tetapi mempamerkan inovasi dan kreativiti dalam industri fesyen hijab dan busana Muslimah di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ARIANI Textiles & Manufacturing Sdn Bhd, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip menyatakan rasa syukur atas sokongan berterusan diterima pelanggan setia.
Katanya, dia juga menekankan komitmen dalam menyediakan produk berkualiti tinggi yang menggabungkan elemen keselesaan, gaya dan nilai eksklusif.
Majlis pertunjukan fesyen bertemakan Arabic ini dibuka dengan segmen Galeri Ariani, mempamerkan lebih 40 koleksi hijab yang merangkumi tudung polos dan cetak dengan pelbagai rekaan.
Segmen kedua diteruskan dengan pertunjukan rekaan ARIANI LUXE iaitu koleksi hijab premium hasil rekaan pereka berkemahiran dengan sentuhan pola perincian lace dan Swarovski eksklusif. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN