Kehebatan vokal dimiliki penyanyi popular, Misha Omar memang sukar dinafikan.
Meskipun hampir empat tahun tanpa single terbaharu selepas kemunculan lagu Tanpa Rela pada Ogos 2020, Misha akhirnya muncul dengan single Masihkah Ada Rasa Itu? buat peminat.
Diperdengarkan kepada khalayak bermula 1 Mac lalu, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer berpengalaman, Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi lagu Sampai Bila, enam tahun lalu.
“Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.
“Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Akuinya, sepanjang empat tahun berlalu dia berusaha mencari dan mengkaji keragaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan dengan selera peminat masa kini sehingga lahirnya lagu Masihkah Ada
Rasa Itu?.
Sinonim dengan genre balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.
Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang mana liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga merupakan hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaan berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.
Jelasnya, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.
“Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu
itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.“Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.
Tambahnya, ramai peminat pastinya mengharapkan kolaborasi terbaharu bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar menerusi Sampai Bila, Misha
bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.
“Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.
“Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya.
Misha menyatakan dia berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberi dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian Masihkah Ada Rasa Itu?. Dia mengakui berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman apabila sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.
“Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan
berbeza untuk setiap penyanyi.“Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.
“Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Lagu Masihkah Ada Rasa Itu? bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 atau saluran 103 jam 7 malam dan platform penstriman, iQIYI jam 8 malam, satu jam selepas siaran TV3 sepanjang Ramadan nanti.
Lagu terbaharu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.- BOOM!