Kecanggihan teknologi membawa banyak perubahan pada industri penyiaran radio apatah lagi platform podcast seolah mendominasi radio sedia ada.
Bagaimanapun jika podcast semakin diminati ramai pendengar masa kini, wujud persoalan lain sama ada kewujudan radio masih relevan untuk diteruskan.
Pengurus Kandungan radio ZAYAN, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, masa depan industri radio sentiasa disaingi teknologi baharu seperti podcast yang memberikan pilihan pada pendengar.
“Setiap kali ada ciptaan baharu sama ada TV, Internet, permainan video dan terkini podcast; kita akan merasakan dunia radio terkesan tapi ironinya radio tetap relevan mungkin kerana ciptaannya menerusi frekuensi dan penerimaan alat yang digunakan murah serta didengar secara percuma menyebabkan radio terus ‘hidup’,” katanya.
Menurutnya, isu penyampai radio ditukarkan pada bila-bila masa adalah bergantung pada faktor demografik dan atas permintaan pendengar sendiri.
“Setiap industri sama seperti perfileman membabitkan pelakon, ia memberikan kesan pada masyarakat. Suatu ketika dulu, stesen radio dinilai tanpa wajah dan gambar di mana, pendengar menilai 100 peratus pada suara dan bunyi audio.
“Mereka membayangkan bunyi atau intonasi di radio itu dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh kerana mereka tiada peluang lain untuk melihat secara visual dan sebagainya kerana pada masa itu hanya audio semata-mata.
“Begitu juga, lagu yang dimainkan secara 100 peratus yang mana kualitinya hanya didengar pada telinga. Kalau drama radio, kesan khas ditambah untuk memberikan rasa pada pendengar,” katanya.
Tambahnya, apabila wujud cabaran lain seperti TV dan Internet pada hari ini menyaksikan teknologi semakin maju dan murah, penerimaan masyarakat juga berbeza-beza.
“Pendengar mahukan penyampai radio yang dekat dengan mereka. Jika dulu kita mempunyai ikon radio seperti Noramin Mosyi-Mosyi dan Halim Othman yang dikatakan suara mereka dekat dengan pendengar sebaliknya zaman berubah apabila pendengar mahukan penyampai yang kelakar.
“Secara tidak sedar apabila pendengar berasa tertekan, mereka mahukan penyampai yang boleh menyampaikan dengan nada kelakar. Pendengar sekarang semakin berfikir, membaca dan menganalisa maklumat dan kerana itu lahirnya dunia podcast yang dirakam dan boleh didengar pada bila-bila masa tanpa perlu disiplin atau peraturan tinggi.
“Podcast diletakkan di atas platform Internet berbanding stesen radio yang bergantung pada lesen di bawah kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Ujarnya, radio masih tetap relevan apabila ia didengar di dalam kenderaan.
“Meskipun podcast tengah popular tetapi saya berharap ia tidak terus menghapuskan radio kerana ia mempunyai ciri-ciri berbeza sama seperti TV sangat lain meskipun pernah dituduh mengambil alih radio, begitu juga Internet dikatakan lebih baik berbanding stesen radio kerana ia hanya menggunakan data Internet lebih rendah.
“Radio masih mempunyai disiplin sama iaitu menyampaikan mesej secara ‘real time’ dengan alat sangat murah dan dimana saja. Bagi menyambut Hari Radio Sedunia, saya berpandangan radio masih relevan dan saya teringat pesanan seorang senior, radio umpama lipas dalam dunia media iaitu sentiasa ada.
“Alhamdulillah saya ditakdirkan selepas dalam bidang TV, filem, wartawan, portal dan akhirnya saya tersangkut dalam dunia radio dimana saya kekal sejak tahun 2010 bermula di Suria FM, sempat bersama IKIM dan kini di ZAYAN selama 6 tahun.
“Selamat menyambut Hari Radio Sedunia dan sama-sama kita berevolusi dengan radio mengikut peredaran semasa. Hakikatnya, tujuan radio adalah menyampaikan informasi tidak kisah dalam bentuk apa asalkan ia adalah perkongsian maklumat,” katanya.- BOOM!