Pesanan bonda tercinta, Allahyarham Rosnah Muhammad agar melakukan terbaik pada pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 menjadi azimat buat penyanyi Khai Bahar.
Meskipun duka kehilangan masih terasa, namun mengingatkan pesanan arwah membuatkan Khai bersemangat memberikan persembahan terbaik untuk lagu Selagi Ku Ada yang dinyanyikan secara duet bersama Nabila Razali.
“Alhamdulillah emosi semakin stabil selepas kehilangan arwah mak, awal bulan lalu.
“Selain itu, sokongan daripada keluarga dan peminat turut menyuntikkan semangat untuk saya melangkah ke pentas final nanti.
“Arwah selalu pesan, apapun terjadi saya kena teruskan karier. Bila tahu saya layak masuk AJL 38, arwah sempat menitipkan pesan buat betul-betul,” katanya yang ditemui di Sesi Meet & Greet AJL Paling Ikonik di Pasar Seni baru-baru ini.
Berkongsi persiapan untuk AJL 38, Khai berkata, dia dan pasukan masih dalam peringkat menyiapkan susunan muzik untuk lagu ciptaan Amylea Azizan itu.
Katanya, sebaik proses berkenaan selesai barulah dia dan Nabila akan memulakan sesi latihan vokal.
Akuinya, menyanyikan lagu secara duet membuatkannya rasa lebih yakin untuk berada di pentas besar seperti AJL, lebih lagi dapat menepis masalah serangan panik dan kegelisahan.
“Saya lebih suka berduet berbanding tampil solo untuk pentas besar macam AJL. Ini kerana saya ada masalah serangan panik, bila ada interaksi dengan pasangan duet kuranglah rasa panik,” katanya.
Berkongsi berduet dengan Nabila Razali, Khai berkata, mereka akan cuba memberikan persembahan yang dapat meninggalkan memori buat penonton.
“Persaingan memang hebat-hebat belaka, tapi siapa tak nak menang. Tapi, saya akan fokus memberikan persembahan terbaik dengan Nabila.
“Saya yakin Nabila akan berikan persembahan terbaik. Saya tak risau soal vokal kerana Nabila menunjukkan peningkatan vokal sangat baik.
“Kalau tak ada rezeki menang sekalipun biarlah persembahan kami akan tinggalkan memori untuk penonton,” katanya. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN