Pengacara popular, Awal Ashaari, 43, kecewa dengan pandangan seorang penyanyi muda yang juga pempengaruh media sosial yang mendakwa menjalani pembelajaran di sekolah tidak penting, sebagaimana dirinya kini sudah berjaya dalam hidup.
Awal ditemui berkata, meskipun apa yang dikongsikan oleh selebriti itu di platform sosial medianya adalah pendapat peribadi, namun perlu berhati-hati kerana apa saja diperkatakan itu mungkin digunakan oleh masyarakat, terutama remaja masih bersekolah.
“Saya memahami apa yang diluahkan itu adalah pendapat peribadi individu terbabit, tapi sebagai seorang yang berpengaruh dia harus ada rasa tanggungjawab sosial terhadap apa saja yang diperkatakannya itu.
“Sejujurnya, saya terkejut apabila tengok klip video berkenaan. Tapi, terfikir juga mungkin dia (selebriti itu) tersilap, cuma, apa dibimbangkan setiap yang diperkatakannya itu akan didengari oleh orang ramai. Mungkin juga mereka yang tengok video itu adalah anak-anak muda masih bersekolah.
“Ditambah, jika yang menonton itu mereka (anak muda) yang keliru mahu terus belajar atau tidak, pasti akan mudah terpengaruh. Apapun, kita tahu semua orang memang perlu ke sekolah untuk timba ilmu kerana pelajaran sangat penting,” katanya.
Terdahulu, Awal hadir sebagai ahli panel dalam Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran pelajar sarjana pengurusan komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), di sini, semalam.
Menurut Awal, realitinya setiap individu perlu melalui proses pembelajaran sebelum menjadi apa yang diinginkan mereka dalam kehidupan pada masa hadapan walaupun zaman kini semakin maju.
“Sebenarnya, banyak saja pempengaruh media sosial di Malaysia ini pada kalangan mereka yang baru tamatkan pengajian di universiti dan wajarlah menjadi contoh. Memang kita boleh kejar apa saja cita-cita dan impian, tapi mesti ada pelajaran dulu.
“Kalau hendak cakap apa yang kita belajar itu tidak digunakan sekarang, saya rasa jika tak belajar semasa tadika atau sekolah rendah, tidak mungkin kita boleh membaca, menulis dan mengira, termasuk bertutur bahasa Inggeris dengan baik,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang penyanyi berusia awal 20-an mendakwa dirinya berasa membuang masa dengan pergi ke sekolah kerana apa yang dilakukan kini tidak mempunyai kaitan dengan kerjaya sekarang.
Penyanyi itu juga berpendapat, sistem persekolahan sedia ada kini sudah boleh diubah kerana masyarakat hidup di dalam dunia moden di mana segalanya sentiasa berubah, namun sistem persekolahan masih di takuk lama dan tidak berubah.
Awal yang juga bapa dua anak dan sudah 20 tahun aktif dalam industri hiburan berkongsi kepada penonton mengenai cara dia menangani krisis dihadapi dalam karier bagi terus membina reputasi diri agar relevan.
Dikendalikan moderator, Sudirman Mohd Tahir, program bual bicara selama lebih sejam itu turut mengundang ahli panel lain iaitu usahawan terkenal, Neelofa dan Naib Presiden Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, termasuk persembahan nyanyian daripada Kaka Azraff. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO