Baru-baru ini Universal Music Malaysia mengumumkan album pertama kumpulan Dolla berjudul ‘New Classic’ yang dilancarkan secara digital.
Dihasilkan oleh produser tempatan dan antarabangsa yang amat disegani di rantau ini seperti Hyuk Shin dari Korea Selatan, album tersebut mengandungi tujuh buah lagu.
Lagu-lagu tersebut terdiri daripada lima lagu baru dan dua yang telah dilancarkan terlebih dahulu, menggabungkan pelbagai genre dari Dance-Pop ke R&B.
Album ‘New Classic’ ini juga bakal mendefinisikan semula intipati lagu yang lebih segar serta naratif penerapan keyakinan tinggi dalam diri setiap individu, menjurus kepada kekuatan wanita.
Menurut Tabby, ‘New Classic’ bukan sahaja sebuah album yang menghiburkan malah ia sarat dengan mesej penting.
“Generasi masa kini mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan karya-karya ‘evergreen’ untuk masa hadapan.
“Sebagai wakil artis dari generasi ini, kami sedaya upaya cuba untuk menggalas misi ini dan bekerja keras agar dapat menghasilkan lagu-lagu yang akan terus diminati dan menjadi inspirasi generasi selepas kami.
“Proses penghasilan album ini mengambil masa lebih kurang setahun. Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa Dolla sebagai kumpulan terlibat secara aktif dalam setiap proses kreatif penghasilan album ‘New Classic’,” katanya.
Sementara itu Syasya, anggota termuda Dolla mengakui proses rakaman album ini agak mencabar kerana setiap lagu amat berlainan di antara satu sama lain.
“Secara individu, ‘vibe’nya berbeza. Namun kami amat bersyukur atas bimbingan serta tunjuk ajar yang kami terima dari semua yang terlibat dalam pembikinan album ini,” katanya.
Tujuh (7) lagu yang terkandung dalam album ‘New Classic’ adalah ‘CLASSIC’, ‘DAMELO’, ‘MASA’, ‘drip’, ‘best side’, ‘BO$$ UP’ dan ‘DAMELO’ (versi Bahasa
Inggeris)’.
Lagu utama iaitu ‘CLASSIC’ serta ‘BO$$ UP’ diterbitkan oleh Hyuk Shin, seorang produser album dan penulis lagu dari Korea Selatan yang amat tersohor di kalangan artis ‘A-list’ di dunia.
Beliau pernah berkolaborasi dengan bintang-bintang bertaraf superstar seperti Justin Bieber, Anderson Paak, Blackbear, Dean, NCT, Super Junior, TXT, Exo, Monsta X, Shinee, Girls’ Generation dan ramai lagi.
Dianggotai oleh Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby, Dolla mula menggegarkan industri muzik Malaysia pada tahun 2020 dengan single mereka yang pertama, ‘DOLLA Make You Wanna’, dan terus mewarnai persada muzik negara sehingga kini. – BOOM!