Konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5 Live In Malaysia yang berlangsung baru-baru ini berjaya ‘menenggelamkan’ 7,000 ‘Baladewa’ dan ‘Baladewi’ yang hadir menikmati malam tersebut.
Jangan dipersoal lagi kehebatan kumpulan Dewa 19 di pentas konsert, kerana yang dihidangkan pastinya terbaik dan ‘memorable’, apatah lagi kali ini, dengan alunan orkestra.
Buktinya, baru tahun lalu (September) peminat disajikan dengan Konsert 30 Years of Dewa 19 tetapi tetap ribuan peminat berbondong-bondong menyaksikan persembahan mereka, kali ini.
Biarpun kali ini vokalis mereka Once tidak bersama, namun energi dan keseronokan sama tetap menggegar Axiata Arena, Bukit Jalil.
Ahmad Dhani membuka tirai konsert dengan alunan klasik Bohemian Rhapsody dan Vocalize yang dipimpin sendiri olehnya sebelum menyerahkan kuasa penuh kepada konduktor muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito.
Sebelum itu, dia turut memberi pujian kepada 54 pemuzik yang mengiringi persembahan mereka.
“Saya mahu berterima kasih kepada pemain orkestra dari Malaysia dan semua Baladewa-Baladewi Malaysia yang hadir pada malam ini.
“Menurut saya, pemain orkestra Malaysia lebih bagus dari pemain Indonesia. Mereka boleh dipanggil sebagai pakar muzik”, katanya.
Secara keseluruhannya, Dewa 19 telah menyampaikan 34 buah lagu dan hampir kesemua lagu dimainkan dengan susunan semula muzik yang sangat mewah dan bertenaga.
Tiga vokalis handalan Dewa 19 iaitu, Marcello Tahitoe, Virzha dan Ari Lasso melengkapi konsert pada malam itu.
Marcello Tahitoe atau Ello memukau semua yang hadir dengan energi luar biasanya menerusi lagu Arjuna, Elang, Sudah dan Pupus.
Momentum itu diteruskan dengan kehadiran Virzha yang menyampaikan enam lagu hit seperti Risalah Hati, Selimut Hati, Pangeran Cinta, Dewi dan Kosong.
Penampilan tiga penyanyi tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi juga dilihat berjaya dan memiliki keunikan yang tersendiri.
Jaclyn juga sempat berseloroh bersama Ahmad Dhani.
“Mas Dhani tahu tak maksud ‘herlokk’?”, katanya. Ahmad Dhani hanya menggeleng kepala dan ketawa.
Kemunculan Ari Lasso ternyata menjadikan konsert Dewa 19 pada malam itu lebih sempurna. Terkenal dengan jolokan ‘suara dari surga’, Ari Lasso membuatkan penonton tidak keruan sebaik sahaja melontarkan bait-bait lagu.
Ari Lasso mendapat sorakan paling gemuruh semasa menyampaikan lagu Satu. Dengan susunan muzik yang baharu, lagu Satu kedengaran sangat hebat saat dimainkan bersama orkestra.
Konsert pada malam itu ditutup dengan lagu Separuh Nafas. Kesemua hadirin berdiri dan sama-sama menyanyikan lagu tersebut yang dibawakan oleh keempat-empat vokalis Dewa 19.
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, konsert yang berlangsung selama tiga jam ini seperti magis dan merupakan antara konsert terbaik dibawakan Dewa 19.
Apa yang pasti, Dewa 19 sentiasa bijak dalam menyusun muzik mereka supaya lebih segar dan sentiasa relevan untuk dinikmati dan itu merupakan justifikasi terhadap tiga dekad keberadaan mereka dalam muzik popular Indonesia. – BOOM!