Penyanyi dan pelakon veteran 80an, Datuk ND Lala akhirnya tampil bersuara menjelaskan mengenai status perkahwinannya, selepas sekian lama mendiamkan diri.
ND Lala menerusi laman sosial Instagram (IG)nya berkata, dia bersuara selepas melihat ada beberapa cubaan untuk menjatuhkan maruah dan memalukan dirinya.
“Setelah sekian lama saya mendiamkan diri terhadap usaha yang dibuat untuk memalukan saya, menjatuhkan maruah saya, menjatuhkan maruah keluarga saya, reputasi saya dan kerjaya saya hari ni saya tampil untuk menjelaskan tiga hal penting.
“Pertama status perkahwinan saya, kedua hal yang memberi impak sabitan undang-undang dan jenayah, yang ketiga apa fokus saya selepas ini.
“Tentang status perkahwinan saya, untuk kata kita baik tak perlulah kata orang lain jahat. Untuk kata kita betul, tak perlulah kata orang lain salah. Mungkin kita cerdik tapi orang lain pun tak bodoh. Mungkin kita cantik tapi orang lain pun tak hodoh. Mungkin kita alim tetapi orang lain pun tak jahil,” katanya penuh makna.
Menerusi video tersebut juga ND Lala turut mengakui telah menikahi Siti Munirah Abdul Ghani dan bekas isterinya, Fauziah Sarman tidak bersetuju berpoligami.
Dakwa ND Lala lagi, bekas isterinya juga telah berkali-kali mengugut dan mendesak agar diceraikan.
“Memang benar, saya telah melafazkan cerai terhadap isteri saya pada 2 Ogos 2023 di Masjid Ar Rahman, Bangsar Kuala Lumpur, memfailkannya di mahkamah pada 7 Ogos dan memberikan audio lafaz cerai kepada bekas isteri pada 8 Ogos melalui aplikasi Whatsapp.
“Saya tidak mahu mengulas apa yang terjadi di antara kami sehingga membawa kepada penceraian, kerana itu adalah hal peribadi,” katanya.
Katanya ND Lala lagi tidak ada keperluan untuk mengadu kepada rakan-rakan pasangan, wartawan atau media sosial sekiranya berlaku masalah di dalam rumah tangga kerana ada platform yang betul untuk berbuat demikian.
“Netizen dan wartawan tak boleh berikan solusi, mereka tak dapat selesaikan masalah rumah tangga. Yang kita cari adalah solusi bukan sensasi kecuali kita nakkan publisiti untuk meraih simpati.
“Tapi tak apalah, apa yang terjadi telah pun terjadi, saya percaya pada rukun Iman, saya percaya pada qada’ dan qadar. Ini bahagian saya, saya reda,” katanya lagi.
Selain video mengenai status perkahwinannya, ND Lala turut memuat naik beberapa rakaman lain yang menjelaskan mengenai perkara kedua dan ketiga seperti yang dimaklumkan. – BOOM!