Baru-baru ini kecoh mengenai Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah, 31, menuntut hutang daripada adik iparnya, pelawak Ali Puteh.
Hidayah mendakwa Ali Puteh belum melunaskan hutang, manakala adik iparnya pula berkata sudah berusaha untuk menyelesaikannya dengan aset dan wang tunai, selepas berbincang dengan peguam tetapi ditolak.
Menjelaskan tentang perkara tersebut, Hidayah berkata, dia menolak pembayaran hutang saman berupa motosikal daripada Ali Puteh kerana berasakan ia tidak wajar.
“Saya menolak cara pembayaran pihak sana (Ali) disebabkan mereka ingin membayar dengan menggunakan kenderaan seperti motosikal.
“Saya tidak menerimanya, hal ini kerana hutang perlu dibayar dengan wang ringgit, bukan barang atau selain daripada itu.
“Saya pun tidak menggunakan motosikal berkenaan yang ingin diberikan kepada saya seperti Yamaha RXZ, Yamaha 125Z dan Yamaha Y15.
“Wajarkah? Sekiranya pihak sana mengatakan semua motosikal itu masih ada nilainya, sila jual dulu dan wang itu dibayar kepada saya,” katanya.
Menurut Hidayah, hutang antara mereka bukan seperti ‘sistem barter’ yang boleh dilangsaikan dengan membuat pertukaran barang tanpa membabitkan wang tunai.
“Persoalannya, mengapa dan kenapa pihak sana tidak mahu menjual terlebih dulu motosikal itu dan kemudian wangnya diberikan kepada saya untuk selesaikan hutang?
“Mengapa dan kenapa perlu memberi motosikal itu kepada saya dan saya pula yang perlu jual untuk dapatkan wang?” katanya.
Terdahulu, Hidayah menerusi hantaran di Instagram @abam_bocik meminta Ali serta kakaknya membuat pembayaran segera hutang mereka kepadanya yang lama tertunggak selepas dia menang kes saman itu pada 18 Februari tahun lalu.
Hidayah memaklumkan hingga kini Ali masih belum melunaskan bayaran hutang sebanyak RM76,000, manakala RM2,000 lagi hutang yang perlu dibayar oleh kakaknya.
Dalam hantaran di media sosialnya itu, Hidayah juga memuat naik tangkap layar kisah Ali yang kini giat menjalankan perniagaan sambal petai dan jering berlado yang semakin maju. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO