Pelakon Anna Jobling mengakui ada melantik akauntan peribadi untuk menguruskan kewangannya untuk pelan jangka masa panjang.
Anna berkata, dia perlu sentiasa beringat supaya tidak menyesal di kemudian hari, terutama apabila melibatkan simpanan dan aset.
“Saya tahu, usia 23 tahun masih muda di mata orang lain tetapi saya pula rasa semakin tua dan tidak mahu membuang masa, saya akan terus bekerja,” katanya.
Katanya lagi, dia perlu merancang kewangan sebaik-baiknya bermula sekarang, tambahan lagi dia kini sedang berusaha untuk memiliki rumah sendiri.
Oleh itu, bagi Anna, penasihat kewangan adalah sangat penting bagi menguruskan kewangannya dengan lebih sistematik dan menasihatinya dalam perkara berkaitan perbelanjaan.
“Saya jaga duit saya, tidak mahu boros beli barang-barang tidak perlu. Adalah sangat penting mempunyai penasihat kewangan dan saya juga memiliki akauntan yang menguruskan duit saya.
“Macam saya sekarang tengah menyimpan untuk beli rumah dan itulah keutamaan saya sekarang ini,” katanya.
Anna ditemui pada majlis sambutan hari jadinya di Chulan View, Royale Chulan Kuala Lumpur, pada malam Khamis.
Dalam pada itu, Anna tidak menolak perniagaan juga antara perancangan seterusnya dalam mengukuhkan lagi jaminan kewangannya.
“Saya terfikir untuk mulakan perniagaan dalam tempoh masa terdekat. Tapi saya nak fokus lakonan dulu sebab sudah tiga bulan tak masuk set (penggambaran),” katanya.
Bercakap mengenai kerjayanya, Anna kini berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Indonesia kerana tuntutan kerja.
“Jadual saya memang sangat padat sejak dua bulan lalu atas komitmen kerja, namun saya dan pihak pengurusan tetap cuba untuk mencari satu tarikh terbaik untuk majlis ini. Selepas majlis ini, saya akan bergegas terbang semula ke Indonesia”.
Majlis yang bertemakan ‘The Go Gatsby’ itu menjadi lebih istimewa apabila peminat memberi kejutan dengan menghadiahkan kek lapan tingkat kepadanya.
“Saya sangat bersyukur untuk memiliki peminat-peminat dan mereka yang sentiasa menyokong saya dari dulu hingga sekarang”.
Peminat-peminat pelakon Melur dan Firdaus ini juga mengambil inisiatif sendiri dengan menjalankan kerja amal bersempena ulang tahun kelahiran beliau, iaitu Anna Jobling Give Back Birthday Charity di pusat perlindungan kucing terbiar S.I. Home Shelter dan juga Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat.
Dalam perkembangan terbaru, Anna kini sibuk dengan sebuah penggambaran bersama produksi Indonesia bertajuk The One yang bakal ditayangkan dalam aplikasi atas talian, Vision Plus. – BOOM!