Pelakon Fatin Afeefa berkogsi rasa gembira apabila hak penjagaan sementara terhadap anak perempuannya, Ivy Herra Sophia berpihak kepada dirinya.
Perkara tersebut diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa.
Bagaimanapun kata Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 29, berkata, kes induk hadanah antara dia dan bekas suami pelakon Adam Shahz masih lagi berjalan.
“Alhamdulillah, kes hadanah interim selesai. Kes induk hadanah masih berjalan.
“Saya bersyukur kepada Allah, Ivy akan berada di bawah penjagaan saya sehingga kes utama selesai,” katanya.
Fatin berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Selasa.
Sebelum ini, Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak lawatan dan bermalam bersama anak perempuan mereka.
Fatin bagaimanapun memfailkan bantahan untuk permohonan pindaan tersebut.
Selain Ivy, Fatin turut memiliki seorang anak lelaki iaitu Adam Aisy Arrian yang kini berusia 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Fatin dan Adam mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 tetapi, bercerai empat tahun kemudian. – BOOM!