Pelakon Nabil Aqil yang juga anak saudara kepada Syafiq Kyle akui tidak mengetahui sebab yang kukuh mengenai pembatalan majlis pernikahan aktor tersebut dengan aktres Mimi Lana.
Tambahan lagi kata Nabil, Syafiq juga mendiamkan diri selepas memaklumkan mengenai berita tersebut.
Bagaimanapun kata Nabil, dia menghormati keputusan Syafiq percaya semua yang berlaku pasti mempunyai alasan tersendiri.
“Saya hanya mengetahui perkara itu menerusi group WhatsApp keluarga dan kami semua terkejut.
“Apa pun kami semua hormati keputusan dan faham mengenainya. Syafiq pun senyap sahaja di group Whatsapp.
“Keluarga kami pun memang tidak bertanya walaupun terkejut sebab tarikhnya 18 haribulan ini, memang dah dekat sangat,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada lokasi penggambaran drama Hawt Fellas di DXN Cyberville, pada Ahad.
Ditanya mengenai Mimi, Nabil berkata wanita itu disifatkan seorang yang menyenangkan.
“Mimi seorang yang sangat kool dan chill. Tak nampak macam bakal makcik saya,” katanya tertawa.
Notis pembatalan majlis itu yang dibuat oleh pengurusan Mimi hanya diketahui setelah ia tersebar di media sosial Jumaat lalu. – BOOM!