Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 52, hampir hilang suara susulan turut berkempen bersama-sama Tan Sri Annuar Musa untuk Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak Julai lalu.
Apatah lagi, walau pun hadir memberi sokongan kepada Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional, pelakon filem Town Mall itu sesekali turut diberi peluang untuk berucap di pentas politik di beberapa lokasi.
“Saya kagum dengan keupayaan Tan Sri (Annuar), walaupun ada waktu beliau dilihat kurang sihat tetap konsisten berucap di lokasi berbeza hampir setiap malam.
“Saya yang diberi peluang sekali sekala untuk berucap pun hampir hilang suara, inikan pula setiap malam,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh bersama-sama Tan Sri Annuar, beliau melihat figura itu sangat fokus pada perjuangannya yang mempunyai aura tersendiri sekali gus mampu menarik sokongan rakyat terhadap PN.
“Sejak bersama-sama Tan Sri (Annuar) berkempen di setiap lokasi, saya melihat sendiri gelombang kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kepimpinan di bawah PMX.
“Rakyat dimomokkan dengan ‘gelombang hijau’ sebagai kebangkitan golongan ekstrimis agama, walhal ini adalah gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.
Susulan itu, beliau percaya Perikatan Nasional (PN) mampu menang besar pada PRN ini.
Beliau ditemui pada acara kempen bermotosikal PN bersama Kelab Motosikal ARC (Alternative Riding Club) di Gombak, semalam.
Turut bersama Eizlan pada acara ini ialah Muhammad Hanif Jamaluddin, calon PN bagi DUN Sungai Tua (N16) dan Dato Fyzal Fauzy, bekas Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar. – BOOM!