Sukar untuk mengunyah makanan dan bercakap, Syafiq Farhain akui sengsara apabila dijangkiti sejenis virus yang mengakibatkan mulutnya berkudis.
Menurut Syafiq atau Nursyafiq Farhain AM Salim, 27, penyakit itu tiba-tiba muncul sebaik dia sembuh daripada demam panas yang dihidapi baru-baru ini.
“Kudis herpes ini bukan penyakit kelamin seperti dikatakan sesetengah pihak.
“Herpes ada dua jenis virus iaitu HV-1 dan HV-2.
“Saya terkena jangkitan HV-1 di bahagian bibir saja. Kalau HV-2, barulah menyerang bahagian alat sulit,” jelasnya menyangkal dakwaan menghidap penyakit kelamin.
Memberi penerangan, Syafiq akui sudah beberapa kali penyakit itu menyerangnya.
“Cuma sejak kebelakangan ini, boleh kata sebulan sekali ia berlaku di sekitar bibir,” katanya sambil berkongsi info bahawa penyakit tersebut jarang ditemui.
Syafiq menambah, doktor mengatakan virus berkenaan memang dah ada dalam badannya, cuma aktif atau tidak sahaja.
Justeru, penyanyi lagu Kau Bidadari itu disarankan agar berehat dan tidak berada di tempat sesak bagi mengelakkan penyakit itu berjangkit.
“Virus ini akan serang ketika antibodi kita lemah, tetapi masih boleh dirawat sebelum melarat,” maklumnya.