Pernah berdepan dengan kritikan pedas komposer terkenal Ajai, sedikit pun tidak menghalang bakat baharu, Dr. Hafiz Zainal meneruskan kerjaya nyanyiannya.
Lebih menarik, dia yang juga seorang doktor gigi kini sudah melahirkan enam single sebaik tamat perjuangan di Big Stage 2020 setahun lalu.
Terkini, lagu berjudul Tak Kira yang dilancarkan serentak dengan video muzik sejak 15 Oktober lalu di saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment, milik pasangan penyanyi Akim Ahmad dan Stacy Anam.
Buat julung kalinya, Hafiz menulis lirik dalam single berkenaan bersama Hang Nadim dan Bunga Cantik.
“Sejujurnya, saya teruja dan dalam masa sama gementar. Apatah lagi ini adalah lagu pertama saya terbabit dalam penulisan lirik lagu.
“Terima kasih kepada Akim dan Stacy kerana memberi kepercayaan kepada saya menjadi penulis lirik bersama mereka,” katanya.
Kongsi Dr. Hafiz, lirik lagu ciptaan Bunga Cantik itu adalah berdasarkan pengalaman percintaannya yang pernah dilalui biarpun terkandas di tengah jalan.
“Sebelum Big Stage, saya ada menjalin hubungan cinta dengan seseorang.
“Namun beberapa bulan selepas menyertai program itu, kami putus. Hubungan kami sempat bertahan kurang dari setahun dan amat mengecewakan.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri.
“Nak dijadikan cerita, saya selalu lepak dengan Akim dan Stacy.
“Mereka pula tahu kisah yang saya lalui. Ketika itulah lagu ini dihasilkan dan meminta saya menulis lirik supaya ada ‘feel’,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Hafiz menyifatkan lagu itu memberi satu perasaan baru untuknya lebih bersemangat dalam mencari cinta.
“Tiba masa untuk cari cinta baharu. Apatah lagi, saya sudah 29 tahun. Orang lain semua sudah ada kekasih dan pasangan hidup,” tambahnya.
Dia juga akui, Tak Kira turut menceritakan pengalamannya ketika menaruh hati dengan kawan baik.