Penyanyi Hazwani Helmi, 26, mengakui ada beberapa cabaran ketika menghasilkan lagu Wahana, nyanyiannya bersama penyanyi, Siqma, 30.
Bagaimanapun, Hazwani teruja dan bersyukur sebaik saja menerima tawaran bergandingan dengan Siqma, rapper yang makin melonjak naik namanya.
Hazwani berkata, Siqma banyak membantunya ketika proses rakaman serta memudahkan lagi kerja rakaman lagu dan pembikinan muzik video.
“Walaupun Siqma kelihatan pendiam pada awalnya, ternyata selepas kenal dengannya, dia sangat mesra dan sentiasa mencuba berikan yang terbaik dalam projek ini,” katanya.
Hazwani mengakui dia tidak pernah berduet dengan penyanyi lelaki sebelum ini.
“Pada mulanya saya bimbang untuk bergandingan, tetapi saya bersyukur Siqma sangat memahami dan menghormati batas saya,” katanya.
Menurut Hazwani, lirik lagu Wahana ini menarik dan dekat dengan jiwanya yang gemar membuat amal kebajikan.
“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya disebabkan sebelum ini saya banyak menjalankan misi kemanusiaan termasuk mendekati sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Tujuan misi itu adalah untuk membuat kebaikan dan masuk ke syurga, seiring dengan maksud yang terkandung dalam lirik lagu Wahana,” katanya.
Menurut Hazwani, cabaran menyanyikan lagu Wahana disebabkan liriknya menggunakan bahasa Arab.
“Tekanan itu disebabkan ada lirik dalam bahasa Arab dan saya banyak kali ditegur kerana menyanyikannya dengan gaya bacaan al-Quran.
“Walaupun berdepan kesukaran menggunakan bahasa Arab masyarakat Mesir, namun saya tetap teruja dan tidak sabar untuk menjayakan proses rakaman lagu ini,” katanya.
Lagu terbitan bersama Masyhur dan Beegood Music Productions itu adalah hasil ciptaan komposer Amir Hufaz dan Shukri Sahari.
Lirik lagu Wahana yang ditulis oleh Cheb Ali dan Isma Sane itu membawa mesej cukup besar iaitu berkongsi kebaikan sesama manusia dan tidak putus asa.
Siqma berkata, dia bersyukur pembikinan lagu Wahana dipermudahkan. Malah, proses rakaman dan penggambaran muzik video Wahana dapat dijayakan dengan baik dan lancar.
Katanya, proses rakaman lagu itu hanya mengambil masa tiga hari untuk diselesaikan tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah, proses penggambaran muzik video juga mengambil masa sehari dan berjalan lancar atas kerjasama dan penat lelah pihak produksi,” katanya.
Menurut Siqma, konsep muzik video diselarikan maksud yang diketengahkan dalam lagu Wahana.
“Konsep muzik video Wahana membawa maksud kebaikan landasan atau panduan dapat mengubah haluan dan hati manusia serta menerangi kegelapan pada setiap jiwa,” katanya.
Berkongsi pengalaman kerjasama bersama Hazwani, Siqma berkata, Hazwani seorang penyanyi yang cukup profesional.
“Walaupun ini baru pertama kali bekerjasama dalam lagu, Hazwani seorang yang komited dalam kariernya dan saya bersyukur dapat bergandingan bersamanya,” katanya.
Lagu Wahana turut mendapat sentuhan penggubah, Shukri Sahari dan penerbit Wan Saleh, Shukri Sahari dan Cheb Amir Hufaz.
Nama Siqma yang sudah meniti di bibir peminat lantaran rap yang disampaikannya, memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi, sekali gus menjadikan dia berbeza daripada rapper seangkatannya.
Siqma atau nama sebenarnya, Rahmat Zulhilmi Abdul Razak juga pernah menjadi jurutera bunyi untuk lagu Polis Evo 3 berjudul Ayuh yang dinyanyikan Malique, Kmy Kmo, Aman RA dan Ernie Zakri. – BOOM!