Pelawak dan penyampai radio, Shuib kecewa dikaitkan dengan organisasi Freemason seperti yang didakwa seorang individu di laman sosial Facebook.
Shuib berkata tuduhan tersebut merupakan satu fitnah dan melampau, lebih-lebih lagi melibatkan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin.
Bagaimanapun, Shuib enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, sebaliknya mahu menyerahkannya kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.
“Ia adalah fitnah dan tuduhan individu tersebut sangat-sangat melampau, apatah lagi ia melibatkan arwah isteri saya.
“Saya minta maaf kerana tidak memberi komen panjang kerana ia akan dilakukan menerusi pihak peguam,” katanya ringkas.
Isu tersebut bermula apabila foto Shuib bersama isteri, Watie Hanifiah menutup sebelah mata menjadi tular di media sosial.
Gara-gara aksi tersebut ia dikaitkan dengan pertubuhan Freemason walaupun foto tersebut merupakan bahan promosi untuk jenama barang kemas melibatkan kerjasama Shuib dan isteri. – BOOM!