Kakak kepada Ira Kazar, iaitu Melor Kazar memberitahu adiknya berada dalam keadaan positif dan tenang meskipun berdepan ujian rumah tangga.
Kata Melor lagi, bapa, Kazar Saisi juga berada dalam keadaan baik dan mereka sekeluarga menjalani kehidupan harian seperti biasa.
“Kami semua baik-baik sahaja, tiada terkesan dan Ira juga sentiasa positif.
“Dengan apa yang berlaku, kami sekeluarga tidak terkesan dengan apa-apa, Alhamdulillah baik-baik sahaja.
“Hakikatnya semua sama sahaja, tiada apa yang lebih, tiada apa yang kurang.
“Kami menjalani kehidupan seperti biasa dan tiada kelainan. Ayah (Kazar) paling okay. Bila ayah okay dan kami pun okay.
“Keadaan Ira pun sama sahaja sejak dahulu, sentiasa positif.
“Jujurnya, kami mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pihak, sebelah sana dan sini.
“Sebab kita nak cakap lebih pun tak boleh, kita tak lalui apa yang mereka hadapi. Kita sebagai keluarga hanya boleh nasihat, dengar atau tidak, terpulang sebab masing-masing sudah besar dan boleh berfikir,” katanya.
Melor yang juga kakak sulung dari lima beradik ditemui selepas majlis tayangan filem Sue-On, semalam (Selasa).
Dalam masa sama, Melor turut mendedahkan, dia tidak terkecuali membaca komen yang ditinggalkan netizen, namun memilih tidak mengambil serius.
“Kami baca semua komen dan kecaman netizen sama ada negatif atau positif. Yang baik kami ambil, yang buruk kami buang.
“Kami adik-beradik sudah diajar dan dididik untuk sentiasa bersabar. Sebab kalau baca akan mengganggu mental.
“Alhamdulillah, semua okay, nak kata kami takut ke mana-mana pun tidak sebab hidup perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, kakak kedua Ira iaitu Yasmin, 37, turut berkongsi persiapan menjelang Aidiladha.
Kata Yasmin, mereka sekeluarga menyambut Aidiladha dalam suasana sederhana.
“Kami memang tidak ke mana-mana Aidiladha. Sambutannya juga tidak semeriah Aidilfitri. Kami pula tiada kampung, memang berasal dari Kuala Lumpur.
“Tetapi, kami tetap beraya bersama-sama, berkumpul adik beradik. Tak pernah lagi tak beraya bersama.
“Ada keluarga sebelah ibu datang beraya di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya adakah bakal menyambut Aidiladha bersama Syamsul, Yasmin berkata, masih tiada perancangan lagi.
“Tiada rancang beraya dengan Syamsul atau sebagainya, selalu spontan sahaja semua,” katanya.
Terdahulu, Ira bergelar isteri kepada Syamsul pada 5 Januari lalu selepas berita itu diumumkan sendiri oleh pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menerusi video dalam Instagram.
Susulan itu, Puteri Sarah yang juga isteri pertama Syamsul ketika itu bertindak memfailkan perceraian sebelum sah bercerai talak satu pada 14 Jun lalu. – BOOM!
Sumber: BH ONLINE