Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, antara 31 selebriti dipilih menerima bintang di Hollywood Walk of Fame bagi Kelas 2024.
Pengumuman dibuat Hollywood Chamber of Commerce, hari ini di mana senarai pendek dinilai daripada ratusan pencalonan diterima pada 16 Jun lalu.
Antara nama lain turut tersenarai termasuklah pelakon Black Phanter; mendiang Chadwick Boseman; penyanyi rap, Dr Dre dan pelakon, Gal Gadot.
Turut dicalonkan, Presiden Marvel Studios, Kevin Feige; pelakon Maggie Gyllenhaal, Chris Pine, Ken Jeong; penyanyi, Gwen Stefani dan lain-lain.
Michelle melakar sejarah pada Mac lalu apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards atau Oscar.
Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menang menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Beliau sempat mengadakan acara menyambut kepulangannya yang diraikan ribuan peminat di pusat beli-belah Pavilion, baru-baru ini.
Menerusi ucapannya, dia sentiasa berbangga mengaku dirinya anak jati Malaysia. – BOOM!
Sumber: HM ONLINE