Vokalis Kangen Band, Andika, mengakui teruja dan sudah tidak sabar untuk bertemu peminat mereka di Malaysia pada 2 September ini.
Andika berkata, mereka bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan di Zepp Kuala Lumpur.
Tambah Andika, kali ini mereka akan membawakan sesuatu yang cukup istimewa dan eksklusif buat seluruh peminat setia mereka.
“Saya mewakili Kangen Band berasa senang kerana dapat datang ke sini lagi untuk menghiburkan peminat.
“Walaupun sebelum ini pernah membuat persembahandi sini sebagai penyanyi jemputan, kali ini cukup berbeza kerana Kangen Band muncul pada sebuah konsert khas buat semua.
“Yang pasti, sangat istimewa buat semua pengikut kami. Jadi, jangan lupa untuk belitiket kami dan sama-sama hadir di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September ini,” katanya.
Membawakan tema Kangen Pada Kenangan, tentu saja peminat tidak sabar untuk mendengarkan lagu-lagu bernuansa cinta yang pernah mengangkat nama Kangen Band hingga berjaya mengumpul peminat tersendiri.
Sementara itu Penganjur, Purosangue Entertainment berkata, pihaknya gembira dan bersyukur kerana buat julung kali berjaya membawa Kangen Band kembali ke Malaysia bagi mengadakan persembahan berskala besar.
“Saya rasa bersyukur kerana berjaya tarik Kangen Band datang ke Malaysia buat kali pertama yang mana sebelum ni saya tengok di media sosial, ramai yang minta untuk Kangen Band datang ke Malaysia untuk buat konsert.
“Suka juga untuk saya kongsikan yang mana bersempena sidang media Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan hari ini, kita akan menjual ‘early bird’ tiket, yang mana kita akanjual pada harga RM200 sehingga 30 Jun ini. Pembelian tiket ni boleh dibeli dekat website kami.
“Saya berharap apa yang kita rancang berjalan lancar dan seterusnya mengubat kerinduan peminat Kangen Band di sini yang ingin menyaksikan persembahan daripada mereka,” katanya.
Kangen Band yang ditubuhkan pada 2005 dianggotai oleh Andika (Vokal); Dodhy(gitar); Tama (gitar); Bebe (bass); dan Izzy (keyboard).
Sejak awal penubuhannya sehingga kini, Kangen Band masih berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai antara pemuzik terbaik yang pernah ada di dalam sejarah industri hiburan Indonesia.
Lagi mengenai konsert, Kangen Band bakal menyanyikan lagu popular mereka antaranya seperti Terbang Bersamaku, Takkan Terganti dan Kembali Pulang.
Peminat juga bakal dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi jemputan iaitu Andra Bagindas.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan dijual pada harga RM4800 (VIP Box); RM355 (Diamond); RM305 (Platinum); dan RM255 (Gold).
Sementara pembelian awal atau ‘early bird’ pula hanya RM200 bermula 15 hingga 30 Jun ini. – BOOM!