Penyanyi popular 80an Rohana Jalil, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11.33 malam tadi, akibat komplikasi berpunca daripada kebocoran usus.
Perkara tersebut disahkan sahabat industri Allahyarham, Haiza Hanafi. Haiza ketika dihubungi BOOM! berkata, Rohana menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum ini pengurus Rohana dikenali sebagai Jepun memaklumkan, Allahyarham tidak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu lagi merawatnya.
Keadaan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan semakin lemah kerana kuman sudah mula merebak ke beberapa organ penting seperti buah pinggang dan paru-paru.
Berikutan itu, doktor turut memaklumkan jantung Rohana akan berhenti pada bila-bila masa.
Pada April lalu, Rohana dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU HCTM (UKM) akibat mengalami kebocoran usus. – BOOM!