Penyanyi Han Byul berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik dalam persembahannya pada malam Konsert Irama Keroncong, yang akan diadakan pada 5 dan 6 Ogos depan.
Han Byul ketika ditemui BOOM! berkata, untuk memastikan perkara tersebut dia telah membuat persediaan sejak dua bulan lalu.
“Saya memang tidak pernah dengar keroncong, sungguhpun begitu, apabila mendapat tawaran daripada penganjur saya tidak menolak.
“Sebaliknya saya jadikan ia sebagai cabaran untuk meneroka genre klasik,” katanya teruja.
Kongsi Han Byul lagi, dia belajar mengenai irama keroncong melalui YouTube, selain turut menggilap penguasaannya dalam bahasa Melayu.
“Saya berlatih selama dua bulan untuk satu lagu keroncong daripada youtube. Lagu yang saya belajar itu ialah Cinta Abadi.
“Saya juga belajar bercakap bahasa Melayu setiap hari dengan menghafal lirik dan menyanyi berulang kali supaya tak pelat nanti.
“Saya yakin saya akan berjaya dan dapat menyempurnakannya dengan baik kerana saya seorang yang bekerja keras,” katanya.
Menariknya, Han Byul turut berkongsi dia bakal menyanyikan lagu Winter Sonata dalam versi Korea dan bahasa Melayu.
“Saya akan menyanyikan lagu Winter Sonata itu dengan separuh bahasa Korea dan separuh lagi dalam Melayu.
“Ini juga kali pertama bagi saya untuk menyanyikan lagu itu dalam dua bahasa,” katanya.
Mengulas mengenai konsert yang bakal diadakan di Istana Budaya itu, Han Byul mengakui teruja dan gementar kerana bakal mengadakan persembahan sebaris dengan penyanyi hebat seperti Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie dan Datin Alyah.
@boom.malaysia Tak sabar nak dengar Han Byul keroncongkan lagu Winter Sonata #boom #boommalaysia #artismalaysia #artist #top #celebrity #star #icon #idol #no1 #influencer #news #viral #trending #fyp #konsert #wintersonata #keroncong #hanbyul ♬ original sound – Boom! Malaysia
“Saya rasa sangat gementar kerana sebelum ini saya belum pernah berjumpa mereka. Tapi saya juga rasa teruja untuk membuat persembahan itu nanti.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya kerana diberi peluang untuk bersama-sama membuat persembahan dalam konsert itu.
“Sama seperti sebelum ini, ketika saya berjumpa dengan Datuk Sri Siti Nurhaliza buat kali pertama, jadi perasaan teruja itu sama seperti sekarang,” katanya.
Han berkongsi perkara itu ketika ditemui sidang media Konsert Apresiasi Irama Keroncong yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini.
Konsert itu dianjurkan oleh Irama Studios yang mahu membawa generasi muda dan lama membuai kenangan silam irama lagu keroncong.
Pementasan itu turut mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital.
Persembahan itu bakal membawa evolusi 16 buah lagu sepanjang 90 minit konsert berlangsung.
Selain Han Byul, tiga lagi penyanyi generasi muda yang ditampilkan adalah Rasyidah Abd Rahim, Rizal Ahmad dan Jamilah Abu Bakar.
Tiket berharga RM88 sehingga RM588 telah pun mula dijual hari ini dan boleh ditempah menerusi laman sesawang https://ilassotickets.com. – BOOM!