Sudah dikurniakan zuriat pertama pada 2019, pelakon kecil molek, Elfira Loy tidak menjangka dia hamil buat kali kedua dalam tempoh singkat.
Berkongsi berita gembira tersebut di laman Instagram miliknya, Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 27, rasa bertuah kerana tidak perlu menunggu lama untuk menimang cahaya mata kedua.
“Baby 2 is coming,” tulisnya ringkas bersama hantaran dimuatnaiknya hari ini.
Sementara itu, isteri kepada Faris Khairul Anuar yang dikahwini pada 1 Januari 2019 itu menjelaskan, dia tetap merasai momen menunggu bilangan ahli keluarganya bertambah.
“Saya akui, terdapat ramai pasangan di luar sana terpaksa tunggu lebih lama berbanding saya untuk mengembangkan keluarga mereka.
“Pun begitu, sebagai seorang ibu dan juga isteri, keinginan menambah zuriat sentiasa membuak-buak.
“Setiap hari saya berdoa agar Allah segera makbulkan hasrat ini.
“Tak sangka pula dalam tempoh masa tidak sampai dua tahun selepas melahirkan Muhamad Rayyan Khalaf, sekali lagi saya dikurniakan rezeki untuk hamil.
“Macam tak percaya saya bakal jadi ibu kepada dua orang anak,” jelas Elfira tanpa mendedahkan usia kandungannya.
Rentetan perkongsiannya, pelakon siri Di Sebalik Kasyaf itu dihujani ratusan komen daripada warganet yang mengalungkan ucapan tahniah serta doa.