Lahir dari pentas Mentor Legend, Nadeera Zaini mengakui hampir berputus asa dan mahu berhenti dari dunia nyanyian.
Menurut Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 28, sudah puas dia berendam air mata mengenangkan nasib sementelah bakatnya tidak dihargai khalayak.
“Apa saja yang saya buat, semacam tak kena. Apabila menyanyi, peminat kata mereka sukakan suara saya.
“Hakikatnya, mereka cakap tak serupa bikin! Pujian diberikan itu tidak diiringi dengan sokongan terhadap lagu nyanyian saya di stesen-stesen radio tempatan?” kongsi Nadeera yang nyata kecewa berhadapan situasi tersebut.
Namun bekas protege kepada Datuk Zainal Abidin itu menjelaskan, dia tetap bersyukur kerana keberadaannya dalam industri muzik tanah air bertahan hingga kini.
Pada masa sama, dia juga berpuas hati dapat peluang bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Sharon Paul dan Ahmad Fedtri Yahya.
“Akan tetapi, masih ramai yang tidak menyedari kewujudan saya waima sudah tujuh tahun bergiat sebagai penyanyi.
“Kenapa payah sangat nak tambat hati pendengar? Suara saya tak sedap ke? Atau selama ini mereka puji sekadar mahu menjaga hati saya?” luahnya menahan sebak.
Meski acap kali cubaannya untuk menyerlah di persada seni suara seakan-akan gagal, bagaimanapun Nadeera enggan mengalah, sebaliknya tampil mempertaruhkan single baharu berjudul Panah.
“Lagu ini mengisahkan tentang pengalaman cinta saya sendiri yang telah disakiti bekas kekasih.
“Dulu, saya pernah bercinta dengan seorang lelaki. Pada awalnya, hubungan kami okey .
“Kemudian dapat tahu rupa-rupanya dia tidak ikhlas untuk bersama saya, malah memberikan harapan palsu,” beritahunya.
Tambah gadis kelahiran Mersing, Johor itu, lirik Panah ditulisnya sendiri bersama-sama Fedtri, manakala Sharon bertindak selaku komposer.
“Saya lega dapat mempersembahkan karya ini. Difahamkan, si dia juga sudah mendengar dan harap meninggalkan kesan dalam hidupnya,” ujarnya menamatkan perbualan bersama Boom!.