Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vaganza 7, Nomad menafikan sengaja merahsiakan hari bahagianya dengan isteri Farah Wahida Hassan, yang berlangsung pada 13 Mei lalu.
Sebaliknya kata Nomad, dia lebih senang untuk berkongsi mengenai kisah peribadinya selepas semuanya sudah pasti.
“Saya memang begitu, lebih selesa jika kisah hidup dikongsi selepas semuanya sudah pasti. Bukannya apa, takut kalau dicanang-canang tidak menjadi pula.
“Saya rasa bila dah sah, baru saya akan ‘reveal’ (mendedahkan). Ada beberapa perkara kalau dalam hidup saya kalau ada sesuatu sepatutnya saya akan kongsi, saya kongsikan.
“Tapi, kalau ada yang tak perlu dikongsikan. Saya rasa tak perlu kongsikan,” katanya.
Bagaimanapun kata Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd Alieff Ayub, dia bersyukur sudah bergelar suami walaupun berasa sedikit janggal apabila dirinya kini dipanggil suami kepada Farah Wahida.
“Saya bertunang pada pada 12 Mei lalu dan akad nikah kami pula berlangsung pada keesokan paginya, iaitu pada 13 Mei.
“Segala persiapan perkahwinan di saat akhir berjalan dengan lancar. Alhamdulillah syukur,” katanya yang menyediakan mas kahwin sebanyak RM13,000 kepada pengantin perempuan. – BOOM!