Tiada sangsi, Adele adalah antara penyanyi yang punyai kelompok peminat paling ramai di dunia dek vokalnya yang memukau, di samping berbakat besar sebagai komposer.
Setelah berjaya menurunkan berat badan, bintang kelahiran London, United Kingdom itu membuat kejutan apabila tampil menayangkan tubuh langsingnya, dilengkapi gaya yang cukup mempesonakan.
Tidak terhenti di situ, menerusi ciapan di laman Twitter, Adele terus mencuri tumpuan sejurus mengumumkan bahawa album baharu berjudul 30 bakal dilancarkan pada 11 November ini.
“30 – November 19,” tulisnya ringkas memuat naik di ruangan status.
Dikenali menerusi lagu hit berhantu Someone Like You, dia menjadikan 30 sebagai medan untuk menyingkap, selain berkongsi perjalanan karier yang diceburi kira-kira tiga tahun lalu.
“Dulu ketika hendak bermula, tidak sangka saya mampu melangkah sejauh ini.
“Saya pilih untuk berpegang kepada rutin yang konsisten supaya kekal berada dalam zon selesa dan selamat.
“Hakikatnya, tindakan itu telah meletakkan saya dalam situasi sukar,” katanya.
Adele akui, bermacam-macam cabaran terpaksa dihadapi dalam usaha membina kerjaya, secara tak langsung menempa nama di persada muzik global.
“Bahkan lebih banyak momen sukar ditempuhi hingga satu ketika, saya pernah putuskan untuk menutup diri saya.
“Lama-kelamaan, saya mula sedar dan memahami perasaan sendiri, lantas menjadi detik yang membuatkan saya berasa tenang dan bermakna,” kongsi pemilik nama penuh Adele Laurie Blue Adkins, 33.
Sementara itu, buah tangan tersebut amat dinanti-nantikan para peminat setianya memandangkan kali terakhir dia mengeluarkan album adalah pada 2015.
Malahan single Easy On Me yang dimuatkan dalam 30 meledak mendominasi carta biarpun tidak sampai 24 jam diperdengarkan kepada umum.